Halaman

Minggu, 23 Juni 2013

Dharma Sangkal Dakwaan Undi Diri Sendiri

Dharma Sangkal Dakwaan Undi Diri Sendiri

JOHOR BAHRU – Pengarah filem Adik Manja The Returns Dharma Harun Al Rashid menyangkal dakwaan beberapa pihak yang menganggap kemenangannya sebagai Direktor Baharu Terhebat, Anugerah Blokbuster 2012′ pada Sabtu lalu kerana ‘mengundi diri sendiri.’

Dharma, 56, berkata, tidak mungkin dia mengundi dirinya sendiri memandangkan dia kurang berkemahiran dengan undian secara dalam talian menerusi laman web rasmi anugerah berkenaan iaitu di www.astrogempak.com.my/AnugerahBlokbuster2.

“Saya manalah reti nak berurusan secara online, menggunakan Internet apatah lagi mahu undi diri sendiri. Nak ikutkan saya tidak mahu datang ke acara anugerah itu kerana berasa tidak akan menang.
“Tetapi anak-anak yang minta saya pergi sebagai tanda menghargai pihak penganjur yang mencalonkan saya dalam kategori tersebut,” katanya kepada mStar Online.

Pada Anugerah Blokbuster 2012 yang berlangsung di Stadium Tertutup, Majlis Bandaraya Johor Baru (MBJB) pada Sabtu lalu, Dharma turut bersaing dengan pengarah lain iaitu Ghaz Abu Bakar (Hantu Kapcai), Rosihan Zain Baharudin (Chowkit), Syafiq Yusof (Saya Amat Menyintaimu (S.A.M) dan Eyra Rahman (Aku Terima Nikahnya) menerusi kategori itu.

Selain itu, nama-nama pengarah seperti Rahila Ali (Aku Ada, Kau Ada???), Esma Danial(Zaiton, Ceritaku), Namawee (Hantu Gangster), Asrulhisyam Ahmad (Sesuatu Yang Tertinggal) dan Nizam Zakaria (Cinta Kurakura) turut dicalonkan.

Kemenangan Dharma dipertikaikan selepas filem arahannya itu mendapat kritikan hebat daripada ramai pihak selepas ia ditayangkan pada Disember 2012 selain tidak mencapai kutpan boxoffice apabila mengutip RM140,000 sahaja.

Bagaimanapun, Dharma menyifatkan kemenangannya itu mungkin kerana langganan yang dibuat penonton menerusi saluran Astro First.

“Alhamdulillah, walaupun filem itu gagal di pawagam, tetapi ia mempunyai langganan yang menggalakkan menerusi saluran Astro First.

“Mungkin kerana itu juga saya diangkat sebagai Direktor Baharu Terhebat. Entah, saya tidak pasti.

“Yang pastinya, tidak lama lagi saya akan menghasilkan filem baharu. Kemenangan ini menyuntik saya untuk menghasilkan sebuah filem yang lebih bagus demi memajukan lagi industri filem tempatan kita,” ujarnya.

Adik Manja The Returns adalah kesinambungan filem Adik Manja arahan Othman Hafsham pada tahun 1979 yang membabitkan Dharma sebagai pelakon utama bersama Noor Kumalasari, Adibah Amin dan Noraini Hashim. – mStar Online


Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...